Laporan Bengkel Memakai Yukata
Pada 23 April yang lalu, saya telah mengikuti bengkel memakai Yukata yang telah diadakan di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban. Seramai 50 orang pelajar yang telah menyertai bengkel ini dengan majoriti pelajar perempuan seramai 34 orang manakala pelajar lelaki seramai 16 orang. Bengkel ini telah diadakan di perpustakaan SDAR selepas sahaja selesai program ‘explorace’.
Di awal bengkel memakai yukata, kami telah ditunjukkan paparan tentang asal-usul Yukata. Yukata telah bermula sejak beberapa ribu tahun yang lepas. Yukata ini juga digunakan pada musim panas oleh kaum wanita dan juga lelaki semasa ingin pergi ke tempat mandi, yukata juga merupakan salah satu daripada kimono.
Selepas selesai tayangan, kami ditunjukkkan pula cara untuk memakai yukata oleh guru Jepun. Yukata terbahagi kepada tiga bahagian. Pada mulanya, kami diajar cara untuk menyarung yukata dengan cara yang betul. Bahagian kanan yukata mestilah ditindihkan oleh bahagian kiri kerana jika terbalik, itu adalah cara bagi jasad yang akan dikebumikan.
Cara yang seterusnya adalah, yukata tersebut perlulah diikat dengan sehelai kain yang nipis sebelum diikat dengan obi. Selesai sahaja mengikat kain yang nipis tersebut di bahagian pinggang, obi pula perlu ditindihkan dan diikat di bahagian pinggang. Terdapat dua bahagian obi yang perlu diambil kira semasa mengikat iaitu tesaki dan teresaki. Tesaki panjangnya adalah setengah daripada teresaki.
Kami juga tidak terlepas peluang untuk memakai yukata. Mana-mana peserta yang tidak membawa yukata sendiri dibenarkan untuk meminjam yukata yang telahpun dibekalkan di sana. Tiada seorangpun yang terlepas peluang untuk mencuba yukata tersebut. Kira-kira 30 minit kemudian, semua peserta telah selesai memakai yukata masing-masing.
Selepas itu, kami diminta untuk berkumpul semula mengikut kumpulan masing-masing. Terdapat empat buah kumpulan. Satu daripada kumpulan peserta lelaki dan tiga kumpulan peserta perempuan. Kami diminta untuk bergambar dalam kumpulan masing-masing dengan gaya yang tersendiri. Pelbagai jenis gaya yang ditunjukkan oleh keempat-empat kumpulan tersebut.
Akhir sekali, kami diajar pula untuk melipat yukata yang telah digunakan dengan cara yang betul agar yukata yang telah dipakai tidak perlu digosok lagi. Konklusinya, bengkel ini memang banyak menambahkan pengetahuan saya tentang yukata.
Laporan Disediakan Oleh, 21 Mei 2011.
............................................
(MANNAN BIN KHAIRIL AMIR)
Peserta bengkel memakai Yukata.