Kisah suka-duka HKJ ke-8



Di Sekolah Dato Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.
Tanggal 22 April 2011 hingga 24 April 2011, satu acara yang gilang-gemilang telah berlangsung dengan jayanya di sekolah antara sekolah pertama yang menerima nama sebagai sekolah berprestasi tinggi iaitu Sekolah Dato Abdul Razak atau lebih mudah dipanggil sebagai SDAR. Acara yang dimaksudkan adalah Hari Kebudayaan Bahasa Jepun peringkat sekolah asrama penuh seluruh Malaysia. Tujuan hari kebudayaan ini diadakan adalah meneruskan lagi kesinambungan hari kebudayaan yang telah diadakan pada sebelumnya selain mendalami budaya orang Jepun dan meningkatkan lagi minat untuk belajar bahasa jepun dan menggunakan ilmu bahasa yang telah dipelajari disamping menambah kenalan daripada seluruh warga sekolah berasrama penuh. Cik Ainun Maziah Binti Abdul Rahman dan Cik Salwa Binti Mahayuddin telah bertindak sebagai guru pengiring bagi Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan urusetia untuk acara ‘Let’s Speak Japanese Explorace’.
Seminggu sebelum tarikh 22 April tiba, seramai enam orang pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh yang juga pelajar bahasa Jepun telah dipilih bagi menyertai hari kebudayaan yang bakal diadakan di Sekolah Dato Abdul Razak. Pelajar tersebut terdiri daripada seorang pelajar tingkatan satu, Amir Amsyar Bin Zamzam, seorang pelajar tingkatan dua, Muhd Raihan bin Nor Komar, seorang pelajar tingkatan tiga, Iman Hakimi Bin Zamzam dan tiga orang tingkatan empat, Mohammad Fazrul Amin Bin Ramlee, Wan Hafizan Bin Wan Zulkefli dan Mannan Bin Khairil Amir. Pemilihan peserta berdasarkan minat, keupayaan peserta dan prestasi peserta dalam peperiksaan bahasa Jepun baru-baru ini, peperiksaan selaras satu. Satu sesi perbincangan telah diadakan antara guru pengiring dan peserta pada hari rabu. Antara hal yang telah dibincangkan bersama adalah tentang tentatif perjalanan hari kebudayaan dan pengagihan bengkel kepada para peserta selain persiapan untuk ke Sekolah Dato Abdul Razak.. Bertindak sebagai ketua kumpulan, saya Mohammad Fazrul Amin Bin Ramlee telah mengadakan beberapa sesi perbincangan sendiri bersama dengan guru bahasa Jepun Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Cik Ainun Maziah tentang baju-baju yang perlu dibawa. Tidak semua permintaan saya diterima. Ada juga penolakannya. Namun begitu, kompromi tidak hanya bersama cikgu semata-mata tetapi bersama peserta-peserta itu sendiri. Setelah dibawa berbincang, Amsyar telah diberikan peluang untuk menyertai bengkel menari (odori), manakala Raihan pula bengkel guntingan kertas (kirigami), Iman diletakkan didalam bengkel tulisan kaligrafi, bengkel cara-cara memakai yukata dipelopori oleh saudara Mannan, kemudian bengkel memasak sushi (makizushi) diamanahkan kepada saudara Wan Hafizan dan bengkel lipatan kain atau dalam bahasa Jepunnya Furoshiki telah diletakkan dibawah kekuasaan Fazrul Amin. Terdapat konflik dalam pemilihan kot sekolah akan tetapi setelah Fazrul Amin berkompromi, kot pengawas sekolah telah diterima. Selain daripada kot pengawas sekolah, para peserta daripada STAR juga perlu membawa baju orientasi, baju rumah putih, baju rumah hitam, baju batik, baju harpi, baju sukan rumah biru bagi sesi 2011, baju sekolah lengkap, beberapa helai seluar hitam, dan kasut kulit hitam. Peserta-peserta juga telah diagihkan dengan alatan keperluan bengkel masing-masing sebagai contoh peserta bengkel tulisan kaligrafi telah dibekalkan dengan beberapa batang berus, bekas dakwat dan helaian kertas cara-cara menulis kaligrafi dengan betul. Selain itu, peserta bengkel kirigami juga telah dipinjamkan sebuah buku tentang cara-cara mengunting kertas yakni kirigami untuk membuat pelbagai bentuk. Buku memasak juga telah diserahkan untuk tatapan peserta Makizushi seminggu sebelum tarikh 22 hari bulan 4 itu. Manakala peserta-peserta bengkel Furoshiki, Odori dan Yukata telah diamanahkan untuk membuat ‘ulang kaji’ sendiri di jalur lebar.
Tepat jam 7.30 pagi, 22 April, kami bertolak dari sekolah tercinta dengan menaiki kostar ‘tercinta’ kami menuju ke Sekolah Menengah Anderson terlebih dahulu kerana mempunyai urusan penting yeng perlu dibereskan terlebih dahulu dengan memakai baju oreintasi, seluar slack hitam dan kasut hitam bersama perasaan yang melonjak-lonjak, tidak sabar lagi untuk berada di SDAR. Dalam perjalanan, kami sempat berbual-bual, menenangkan fikiran. Tiba-tiba, brek tangan ditarik secara drastik, terkejut kami dibuatnya namun alhamdulliah, kami terselamat daripada berada di hospital atas kecekapan pemandu sekolah kami yang berpengalaman. Syukur, kami selamat tiba di Sekolah Menengah Andreson. Lantas, Cik Ainun keluar daripada perut kostar menapakkan kaki mencari Encik Jamallulai bagi mendapatkan tandatangan beliau. Timbul persoalan kenapa dan mengapa. Persoalan dijawab ringkas Cik Salwa iaitu untuk cek yang bakal diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir Jepun. Kami sampai di Sekolah Intergrasi Gopeng terlewat sedikit berbanding Sekolah Melayu Kuala Kangsar. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di IGOP, saya Mohammad Fazrul Amin mengambil inisiatif dan peluang untuk bersalam-salaman terlebih dahulu bersama para pelajar lelaki IGOP yang juga peserta HKJ. Salam disambut beserta senyuman manis terukir dibibir, sapaan mereka saya balas. Selepas semua peserta daripada STAR menangkat bagasi-bagasi mereka daripada dalam kostar, barulah saya mengeluarkan bag-bag saya. Sebelum menaiki bas IGOP ke SDAR, saya dan beberapa peserta HKJ daripada STAR seperti saudara Wan Hafizan dan peserta HKJ daripada IGOP mengadakan lawatan ringkas sekitar Sekolah Intergrasi Gopeng dalam usaha menghabiskan masa yang ada. Sungguh, bukan sahaja besar malahan indah juga permandangan sekitarnya. Sempat juga kami berbelanja di koperasi IGOP, mendapatkan barang kenangan. Kami turut berbual-bual bersama cikgu bahasa Perancis sekolah tersebut kebetulan berada di koperasi. Masa sudah tiba, mesej ringkas juga diterima menandakan telah masuknya waktu untuk kami menaiki bas IGOP ke SDAR. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi, bas baru berangkat pergi. Dalam bas, kami merapatkan lagi jurang antara STAR dan IGOP. 11.30 pagi, kami berhenti di perhentian Tapah. Pada mulanya, kami semua diminta untuk naik semula ke dalam bas pada pukul 12.00 tengahari akan tetapi masa berlanjutan hingga pukul 1.30 petang. Tindakkan pemandu bas IGOP sangat tidak menyenangkan hati. Apabila hati sudah marah, macam-macamlah kata-kata yang tidak sedap didengar keluar. Tiba di perhentian lain, sekali lagi pemandu bas membuat hal, kami dibelakang tidak larat lagi mendengar luahan hati yang disakiti.
Diringkaskan cerita, kami tiba jua di SDAR bersama-sama konvoi ciptaan bersama pemandu-pemandu bas sekalian walaupun hakikatnya lewat yeng teramat sangat. Guru pengiring kami mendaftarkan kami semua. Selepas pandaftaran, kami diminta untuk bergambar dan ditunjukkan kami bilik penginapan. Selesai meletakkan barang-barang kami, kami dipanggil untuk berjumpa dengan Cik Ainun bagi mendengar sedikit taklimat daripada cikgu. Setelah mendengar dengan teliti, kami mengambil peluang untuk melawat sekitar SDAR sehingga pukul 5.30 petang. Mengkagumkan. Itu ungkapan yang dapat kami katakan setelah melihat fasilitis yang ada. Kemudian, kami bersiap-siap menguruskan diri untuk menjamu selara di dewan makan pada pukul 6.00 petang. Kami menginap di bawah satu bumbung yakni bilik bersama MCKK. Selesai makan malam yang menyelerakan di dewan makan dan solat Maghrib berjemaah, kami diminta untuk ke dewan Dato Abdul Razak untuk mendengar kata alu-aluan oleh pengetua cemerlang SDAR, Hj Zakaria Bin Md. Zin. Tepukan gemuruh didengari, ucapan juga telah diakhiri. Acara diteruskan lagi dengan sesi taklimat untuk guru pengiring dan ‘ice-breaking’ antara pelajar SBP. Semua pelajar mendengar arahan cikgu yang dipertanggungjawabkan mengendalikan sesi ini. Kami semua di pecahkan kepada dua puluh kumpulan kecil daripada bilangan ratusan pelajar yang ada. Dalam bulatan kumpulan, kami diminta memilih ketua kumpulan, mencipta moto dan tepuk sorak semangat kumpulan sendiri selama beberapa minit. Kemudian setiap kumpulan dikehendaki berada di atas pentas bagi mempersembahkan hasil idea bersama. Yang pasti, setiap kumpulan mempunyai keunikan tersendiri untuk tepuk sorak masing-masing. Susah untuk dinilai. Kalau diizinkan, mahu sahaja kami berada di dalam dewan sekolah itu lebih lama namun masa mencemburui kami. Sedikitpun tidak rasa belas kesian akan kami yang ingin bersua muka dan berbicara lebih lama. Makan tengah malam disediakan. Kami hanya perlu melangkahkan kaki kami ke dewan makan. Di kamar, Mohammad Fazrul Amin memberikan sedikit taklimat untuk esok dan sedikit nasihat buat semua peserta-peserta daripada STAR. Sebelum tidur, kami menunaikan solat Isyak bagi mereka yang belum melaksanakan kewajiban Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya kerana kepenatan walaupun berkipaskan dua sahaja. Bagaikan rumah setinggan dibuatnya para peserta STAR dengan menghamparkan tilam di atas lantai. Hanya Mohammad Fazrul Amin sahaja dari STAR tidur di atas katil bercadarkan cadar sekolah sendiri.
Hari kedua, 23 April 2011, Sabtu, 6.00 pagi, kami bangkit daripada buaian mimpi yang indah dan sebaik sahaja azan berkumandang, kami menunaikan solat Subuh terlebih dahulu barulah mandi di bilik mandi. Pagi itu, kami mengenakan baju baru yang telah diberi kepada semua peserta sewaktu tiba untuk pendaftaran dan seluar track serta berkasut kasut sukan kemudian menuju ke dataran Bestari untuk senaman pagi yang dikendalikan oleh para pelajar MCKK. Acara senaman pagi berjalan kurang lancar memandangkan pelajar-pelajar MCKK tidak membuat persedian terlebih dahulu. Sekalung tahniah wajar diberi kepada mereka kerana berani tampil ke hadapan. Tidak semua pelajar mempunyai keyakinan yang tinggi. Selesai bersenam, kami menjamah sarapan pagi dan menguruskan diri kami untuk acara selanjutnya iaitu ‘Let’s Speak Japanese Explorace’. Bersama kumpulan yang telah ditetapkan, kami dikehendaki mengapai kemenangan dengan melaksanakan kesemua stesen yang berjumlah sepuluh. Terdapat stesen mengenal nama-nama Negara, stesen membuat origami, stesen memancing abjad dan sebagainya. Sukar. Luar biasa daripada yang disangka. Sungguh memenatkan dan menguji ilmu. Terlampau banyak yang ingin diluahkan namun tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apatah lagi ditinta. Selesai sudah acara tersebut, kami semua diberikan kelapangan bagi minum petang, solat dan urus diri. Belum reda lelah, kami diwajibkan berkumpul di dataran itu sekali lagi untuk riadah. Entah mengapa dan kenapa, dengan kuasa Tuhan, hujan turun membasahi bumi. Mahu tak mahu, acara riadah terpaksa dibatalkan. Tapi selepas pengumuman pembatalan, hujan terus sahaja berhenti. Bolehlah kami semua memanfaatkan masa untuk ronda lebih lama disekeliling sekolah. Ketika kami berjalan-jalan, SDAR dan Sekolah Sains Alam Shah sedang berlatih melakukan persembahan. 6.30 petang, kami solat dan mengurus diri. Malam ini merupakan malam kebudayaan dan makan malam perdana. Kami sungguh teruja. Dengan mengenakan pakaian Happi berwarna merah menyala dan seluar slack hitam berkasutkan kasut kulit hitam, kami kelihatan berbeza dan menonjol pada malan keraian itu. Pujuan demi pujian kami dengari tapi tidak pula cacian diterima. Kalau adapun tidak mungkin diwar-warkan secara umum, mungkin antara pelajar. Kami Pelajar STAR hanya mengikut arahan guru pengiring sahaja dan kami terima kerana itu yang terbaik buat kami. Makan malam, kami tidak ditempatkan bersama-sama pelajar sekolah sendiri sebaliknya mengikut zon. Majlis bermula sebaik sahaja tiba tetamu-tetamu kehormat. Semua berdiri bagi menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Kimigayo. Hormat. Kami berdiri tegak sambil menyanyikan lagu kebangsaan Negara dengan lantang. Seperti mana-mana majlis, pasti ada ucapan. Tapi kali ini berbeza, selesai sahaja penganugerahan sumbangan kepada mangsa tsumani dan ungkapan kata selamat tinggal, Masahiko Hone, duta besar Jepun di Malaysia melangkah keluar meninggalkan majlis atas alasan mempunyai urusan yang perlu diselesaikan. Walaupun demikian, majlis tetap diteruskan tanpa suasana sunyi melanda. Persembahan kebudayaan oleh beberapa sekolah kami tetapi sewaktu menjamah juadah istimewa tersedia di atas meja. Setelah selesai persembahan majlis penyampaian sijil dan hadiah buat sekolah yang berprestasi tinggi dalam mata pelajaran Jepun. Alhamdullilah, STAR dinobatkan di tempat ke-5 dengan bilangan pelajar mendapat markah penuh iaitu 100% dalam peperiksaan selaras SBP tingkatan 4 jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain yang hanya mampu melahirkan seorang sahaja pelajar bermarkahkan 100%. Terima kasih kepada saudara Isma Arif dan saudara Faizul Razi kerana telah menaikkan nama sekolah dimata dunia, dunia SBP. Namun hakikat terima kasih yang sebenarnya buat Cik Ainun yang telah mengajar mereka. Telah berlangsung juga sesi fotografi sebaik sahaja selesai majlis makan malam tersebut. Kami pelajar STAR juga mengambil peluang bergambar bersama-sama para pelajar Sekolah Seni Johor Bahru. Terpukau dengan persembahan yang mantap, bagai bergambar bersama artis kami rasa. Letih. Kami menuju ke kamar untuk mendapatkan rehat yang secukupnya.
Hari ketiga, 23 April, Ahad, seperti semalam, kami bangun lebih kurang pukul 6.00 pagi untuk menunaikan solat berjemaah. Selesai mandi, kami mengenakan pula baju rumah putih, seluar track dan kasut sukan untuk bersenam pada pagi itu. Berbeza dengan kelmarin, senaman pagi berjalan lancar dengan dikendalikan SAS. Menarik. Senaman pagi pada hari itu lain daripada yang lain. Bergelak ketawa kami semua dibuatnya. Terpahat dalam hati sudah pasti. Menuju ke dewan makan, sarapan pagi kami nikmati. Seterusnya kami diminta bersiap-siap dengan pakaian seragam sekolah bagi mungikuti ceramah ‘Japanese manga’ oleh Seiji sensei. Seiji sensei merupakan pelukis komik terkenal sanggup memberikan tunjuk ajar kepada semua peserta. Selingan ceramah, kami diminta menulis atau melukis apa-apa sahaja di dinding berlatarkan gambar pokok sebagai mesej yang ingin disampaikan kepada pelajar-pelajar yang berada di Jepun yang sebaya dengan kami bertujuan memberikan semangat kepada mereka. Ruang sebesar bola tenis memadai buat kami menyampaikan isi hati. Ada diantara pelajar seperti saudara Mannan diberikan peluang menjadi model untuk dilukiskan mukanya oleh Seiji sensei. Satu sesi bergambar bersama dilangsungkan. Gambar itu akan ditunjukkan kepada para pelajar Jepun. Penyampaian hadiah dan cenderamata dilaksana selepas ceramah berkenaan. Walaupun tidak menerima apa-apa hadian kecuali saudara Mannan namun kami gembira kerana dapat hadiah lebih istimewa iaitu dapat berkenalan dengan para pelajar daripada segenap lapisan SBP dan itu lebih molek daripada mana-mana hadiah kebendaan. Terjalinnya ukhwah yang erat antara kami. Sedih terasa gelegak didalam dada meninggalkan teman yang dibawa bual bicara. Bilakah lagi dapat berjumpa? Mungkin tidak lagi akan tetapi kami berdoa semoga dapat bertemu pada lain masa dan ketika. Didalam alam maya mungkin. 12.45 tengahari, berjalan pergi kami meninggalkan dewan menuju dewan makan. Selepas menikmati juadah terakhir di SDAR. Kami diarah mengemaskan segala kelengkapan kami dan menunaikan solat dan berada di bas lima minit sebelum pukul dua. Cuba tepati masa, tepat jam 1.45 tengahari, kami selangkah keluar kamar dalam keadaan teratur menuju bas IGOP. Sayu. Lenyaplah SDAR dari pandangan mata namun kenangan manis semasa berada di sana dibawa bersama. Di dalam bas, kami keletihan lantas tertidur. Pemandu bas tidak lagi membuat kerenah. Sedar sahaja dari lamunan mimpi, kami berada di Plaza Tol Ipoh Selatan. Salaman dan ucapan selamat tinggal dan jumpa lagi kami ungkapkan kepada semua, MCKK dan IGOP. Lambaian perpisahan STAR-IGOP dan MCKK menyinari suasana. Meneruskan lagi perjalanan kami ke sekolah dengan menaiki lagi kostar ‘tercinta’. Singkat rasanya perjalanan pulang. Setibanya di sekolah, Cik Ainun memberikan sedikit kata-kata.’ Terima kasih , cikgu’ lantang disuarakan kami. Maka berakhirlah sudah peristiwa mengamit jiwa. Pulanglah kami ke asrama masing-masing.
Saya berharap agar dapat mengikuti lagi Hari Kebudayaan Jepun pada masa akan datang tapi itu tidak mungkin direalisasikan memandangkan HKJ hanya sekali untuk dua tahun. Tidak mengapalah. Akhir kata, terima kasih banyak-banyak atas segala-galanya.


MOHAMMAD FAZRUL AMIN BIN RAMLEE
Ketua Rombongan Peserta STAR.